Make your own free website on Tripod.com

Hamidon-Zaini

Bagaimana Cara Saya Bekerja

Home | Biodata Sepintas Lalu | Hubungi Saya | Perkhidmatan | Bagaimana Cara Saya Bekerja | Kelemahan Ketara | Penutup & Falsafah Saya | Artikel | FAQ and Links
 

Bagaimana Cara Saya Bekerja?

Untuk Permohonan Pinjaman Bank terutamanya, berikut adalah langkah-langkah mengikut turutan yang akan saya ambil dalam memberikan khidmat rundingan kepada syarikat anda sekiranya anda melantik saya sebagai perunding pinjaman syarikat anda. Langkah yang serupa juga bersesuaian untuk diaplikasi bagi sebarang jenis khidmat rundingan yang membabitkan perniagaan anda tertakluk kepada sedikit pengubahsuaian di mana perlu;


  1. Saringan Pertama

Sebelum memulakan penyediaan Kertas Kerja bagi permohonan pinjaman, saya akan membuat saringan pertama iaitu memastikan nama syarikat dan pengusaha terbabit (anda) tidak tersenarai di dalam Sistem Maklumat Rekod Buruk seperti CTOS, FIS, BMC, CCRIS atau lain-lain sistem maklumat yang diiktiraf oleh institusi kewangan. Sekiranya tersenarai, saya akan membuat kajian untuk membentuk strategi yang sesuai bagi menangani permasalahan ini. Setiap permasalahan pasti ada penyelesaian yang sesuai bergantung kepada sikap serta pandangan anda sendiri.


  1. Analisis SWOT

Setelah menerima dokumen-dokumen asas dari anda, dengan bantuan anda yang mahir tentang hal-ehwal perniagaan anda, saya akan membuat Analisis SWOT. SWOT adalah singkatan perkataan Inggeris Strength, Weaknesses, Opportunities and Threats atau dalam Bahasa Melayu bermaksud kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman (saingan). Analisis SWOT ini adalah sangat penting dan harus dinilai sendiri oleh tuan punya syarikat atau usahawan itu sendiri (anda) supaya anda tahu dan faham serta menghayati sepenuhnya kedudukan semasa syarikat anda bagi membantu anda untuk memacu syarikat ke arah yang lebih cemerlang tambah-tambah lagi dengan penambahan modal kerja yang bakal diperolehi melalui pinjaman yang sedang diusahakan.


  1. Analisis Kos

Setiap barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat mempunyai elemen kos masing-masing. Sebagai usahawan, adalah sewajarnya anda mengetahui secara terperinci kos-kos yang terbabit. Ini sangat penting bagi menjamin setiap barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan akan memberikan pulangan yang sepatutnya.


  1. Analisis Titik Pulang Kos (Break even point analysis)

Analisis Titik Pulang Kos adalah analisis yang tersangat penting bagi kesinambungan sesuatu perniagaan. Sebagai usahawan, ANDAlah orang yang paling penting bagi membuat keputusan mengenai sebarang pendapatan atau perbelanjaan. Melalui pengalaman anda yang lepas, saya akan membantu anda membuat analisis ini supaya anda tahu, faham dan mahir semahir-mahirnya akan setiap punca pendapatan dan perbelanjaan yang bakal diperolehi atau dibelanjakan. Proses ini akan membantu anda untuk menyeimbangkan perbelanjaan dengan pendapatan agar perniagaan anda akan sentiasa untung. Dan sekiranya perniagaan anda terpaksa mengalami kerugian, anda sudah mengetahuinya sejak awal-awal lagi dan ini akan memungkinkan anda melaksanakan proses pemotongan kos bagi meminimakan atau mengelak kerugian tersebut daripada berlaku.


  1. Andaian prestasi perniagaan (business performance assumptions)


Berdasarkan kepada prestasi kewangan yang lepas, analisis kos dan analisis titik pulang kos, serta maklumat terkini suasana dan trend semasa ekonomi negara, anda akan dipandu untuk membuat andaian perniagaan (business performance assumptions). Andaian-andaian tersebut akan menjadi asas perkiraan bagi tujuan penyediaan unjuran kewangan untuk tahun-tahun berikutnya serta unjuran aliran tunai.


  1. Unjuran Aliran Tunai (Cashflow Projections)


Unjuran aliran tunai adalah kaedah untuk mengetahui keperluan serta kecairan modal kerja semasa bagi mencapai sesuatu matlamat jualan. Proses ini akan membantu anda mengetahui keperluan sebenar modal kerja tambahan (mungkin dalam bentuk pinjaman) yang diperlukan dan pengagihan tunai bagi tujuan pembayaran balik pinjaman dan perbelanjaan operasi harian. Berasaskan kepada andaian prestasi kewangan di atas, ia akan membantu bagi penyediaan unjuran aliran tunai. Dengan unjuran aliran tunai yang lengkap dan menyeluruh (tepat), anda berupaya menentukan jumlah pinjaman atau modal kerja tambahan yang diperlukan bagi menjamin kelangsungan operasi harian perniagaan anda. Cara ini juga akan mengelakkan anda dari membuat pinjaman atau mengeluarkan wang simpanan anda dengan berlebihan, yang akan memudharatkan perniagaan anda dari segi kos pinjaman dan kebarangkalian salah guna dana pinjaman.


  1. Unjuran Prestasi Kewangan Syarikat.


Berdasarkan kepada kesemua proses di atas, satu unjuran kewangan untuk beberapa tahun akan datang dapat dibuat sehampir-hampir tepat sebagai panduan untuk memeriksa prestasi sebenar syarikat anda dari masa ke semasa agar anda dapat mengawal-selia syarikat anda dengan cekap, berkesan dengan bermatlamatkan keuntungan dan dari keuntungan inilah yang bakal dikongsi bersama tuan punya syarikat iaitu anda, pekerja syarikat, pembekal syarikat dan membayar balik pinjaman dari bank pembiaya. Selebihnya juga bakal dikongsi oleh Kerajaan dalam bentuk cukai pendapatan syarikat yang bakal dibayar.


  1. Khidmat Selepas Jualan (after sales service)


Kepentingan menyediakan rancangan perniagaan secara bertulis atau dalam bentuk dokumen seringkali diabaikan oleh usahawan kecuali apabila diperlukan untuk memohon pembiayaan. Sebab itu dokumen ini sering dikaitkan dengan permohonan pinjaman daripada bank atau institusi kewangan. Keperluan menyediakan dokumen ini dilihat sebagai memenuhi syarat permohonan sahaja. Tanggapan ini menyebabkan kebanyakan usahawan sukar menilai kepentingan dan keperluan menyediakan sebuah rancangan perniagaan. Setelah permohonan mereka diluluskan (atau mungkin ditolak) dokumen tersebut tidak lagi dirujuk untuk melaksanakan projek yang dirancang. Besar kemungkinan ini berlaku kerana dokumen tersebut disediakan oleh pihak lain sepenuhnya tanpa pembabitan langsung usahawan tersebut. Oleh yang demikian maklumat yang terkandung dalam rancangan perniagaan berkenaan tidak menggambarkan hasrat sebenar usahawan tersebut.


Saya mengambil pendekatan yang berbeza. Setiap langkah penyediaan kertas rancangan perniagaan, akan melibatkan sepenuhnya usahawan tersebut. Ini bermakna usahawan tersebutlah yang akan membuat keputusan mengenai angka-angka yang terkandung di dalam rancangan perniagaan yang disediakan. Peranan saya hanyalah memberi nasihat dan memberikan alternatif-alternatif, yang pada fikiran saya, memberikan keuntungan samada jangka pendek atau jangka panjang kepada usahawan tersebut. Oleh yang demikian, saya mewajibkan setiap usahawan yang datang kepada saya menandatangani perjanjian khidmat selepas jualan supaya saya boleh terus menerus memantau dan membantu mereka bagi mempastikan perniagaan mereka sentiasa berlandaskan kepada rancangan perniagaan yang mereka buat atau lebih baik dari apa yang mereka rancangkan dan bukan sekadar hanya memberikan khidmat untuk mendapatkan pinjaman.


Selepas pinjaman diluluskan dan dana pinjaman dikreditkan, saya akan mula membuat pemantauan berkala. Sewaktu pemantauan dibuat, saya akan memberikan nasihat-nasihat bagi tujuan penambahbaikan atau pemuliharaan. Contohnya, permohonan pinjaman tambahan atau pengstrukturan semula hutang syarikat bagi syarikat-syarikat yang bermasalah. Pemantauan dari luar contohnya dari saya bolehlah juga dianggap sebagai proses check and balance bagi memastikan kelancaran sesebuah perniagaan demi kebaikan usahawan tersebut juga.


Kesemua proses di atas akan menjadi alat atau business tools yang sangat penting serta berguna kepada para usahawan untuk memajukan perniagaan mereka supaya menjadikan perniagaan mereka berdaya saing (kompetitif), berdaya maju (menguntungkan) dan berdaya tahan (berterusan). Perniagaan yang sedemikian (berjaya) akan memberikan imej yang baik kepada para pekerja, para pembekal, bank pembiaya dan terutamanya kepada pemegang saham serta bakal pelabur.

Perunding Perakaunan, Perunding Pinjaman dan Perunding Perniagaan